Sunday, November 20, 2011

BAHAN LATIHAN UNTUK KRS

ADAT RESAM KAUM ASLI

asyarakat Orang Asli merupakan komuniti kecil di Malaysia dan adalah penduduk pri bumi negara ini. Orang Asli merupakan masyarakat yang mempunyai beberapa suku kaum yang berbeza-beza. Secara rasminya masyarakat Orang asli dibahagi kepada tiga kumpulan yang terbesar iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Asli. Suku Senoi dan Negrito pula diklasifikasikan kepada enam suku kecil. Suku Melayu Asli dipecahkan kepada tujuh suku kecil. Oleh kerana terdapat pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Orang Asli, maka terdapat banyak perbezaan dari segi cara hidup dan pertuturan bahasa yang digunakan. Kebudayaan dan adat resam mereka juga berbeza-beza dan mempunyai keunikan yang tersendiri. Adat resam berikut akan memperlihatkan adat resam yang diamalkan di kalangan masyarakat Orang Asli secara keseluruhan.
Pengenalan
Bagi masyarakat Orang Asli, adat resam semasa hamil amat dititik beratkan, seperti juga adat-adat berkaitan aspek kehidupan yang lain. Terdapat sedikit persamaan dengan adat resam masyarakat Melayu terutamanya dalam beberapa adat kelahiran tertentu di kalangan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Melayu Asli. Berikut dipaparkan adat resam kelahiran yang diamalkan oleh masyarakat Orang Asli secara ringkas yang merangkumi peringkat sewaktu mengandung, semasa bersalin dan selepas lahir secara ringkas. Sewaktu Mengandung Di kalangan masyarakat Orang Asli terutamanya dari suku kaum Melayu Asli, wanita yang mengandung akan menempah seorang bidan yang akan membantu wanita berkenaan ketika bersalin. Ketika kandungan berusia tujuh bulan , bidan yang dipilih itu perlu melakukan upacara melenggang perut. Upacara itu akan dijalankan oleh mak bidan yang akan menjampi wanita yang mengandung itu bertujuan untuk mengusir sebarang semangat jahat dan gangguan lain bagi menjamin keselamatan ibu serta bayi. Di samping itu, adat ini juga penting untuk menentukan kandungan berada di kedudukan yang betul agar memudahkan proses bersalin kelak. Kelazimannya adat ini akan disertai dengan sedikit jamuan makan. Selain adat tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu dihindari oleh wanita mengandung dan berikut adalah beberapa pantang larang yang masih diamalkan oleh masyarakat Orang Asli.

Wanita mengandung tidak boleh mentertawakan binatang seperti monyet kerana dikhuatiri muka dan perlakuan bayi akan menyamai haiwan berkenaan. Mereka dilarang memakan ikan yang bewarna merah kerana dikhuatiri berlakunya tumpah darah ketika melahirkan bayi. Wanita mengandung juga dilarang bekerja pada waktu subuh dan maghrib kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan kelihatan tidak bermaya kerana semangatnya telah terganggu.

Mereka dilarang mengetuk paku pada kayu di sebelah petang kerana dikhuatiri bayi atau ibu akan sakit atau mati

Semasa Bersalin Semasa bayi dilahirkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan serpih buluh yang tajam dan bayi dimandikan dengan air suam. Seterusnya uri bayi ditanam berdekatan rumahnya. Uri tersebut akan dicuci, digaul dengan serbuk kunyit, garam, lada putih, lengkuas, kemenyan dan arang sebelum ditanam ke dalam lubang setinggi satu kaki. Selama tujuh hari lampu akan dipasang di tempat uri tersebut ditanam. Bagi masyarakat Orang Asli, mereka menganggap uri tersebut sebagai abang atau kakak kepada bayi itu dan justeru ia hendaklah ditanam dengan sempurna.

Selepas Lahir Selepas bayi dilahirkan, terdapat beberapa adat yang dijalankan, iaitu: Memberi Nama Bayi akan diberi nama dengan kebenaran dari ibu bapanya selepas selamat dilahirkan. Biasanya nama bayi diberi berdasarkan nama pokok, tumbuh-tumbuhan, ikan atau tempat yang dekat dengan bayi ketika lahir atau juga menurut nama peristiwa yang berlaku ketika bayi dilahirkan. Adakalanya nama yang diberi tidak sesuai dan bayi akan jatuh sakit. Jika ini berlaku, ibu bapa tadi akan 'menjualkan' bayinya kepada orang lain, iaitu ibu bapa barunya. Dipercayai penyakit bayi adalah disebabkan ketidaksesuaian antara bayi dan ibunya. Setelah bayaran dibuat kepada ibu bapa baru, ibu kandung akan pulang ke rumah. Tetapi tidak lama selepas itu ibu bapa baru akan menyerahkan kembali bayi tersebut kepada ibu bapa kandungnya. Adakalanya nama bayi perlu diubah kerana tidak sesuai. Jamuan kecil-kecilan akan dibuat sempena pertukaran nama bayi tersebut. Kadang kala pulut kuning akan diberi kepada jiran-jiran. Bidan pula akan menjalankan upacara pembersihan yang menyerupai adat menepung tawar di kalangan masyarakat Melayu supaya bayi berada dalam keadaan selamat dan sihat. Tanggal Tali Pusat Biasanya tali pusat akan tanggal dalam tempuh seminggu selepas bayi dilahirkan. Sama seperti adat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu, masyarakat Orang asli juga akan menguruskan tali pusat tersebut dengan sebaik-baiknya. Ini dengan cara membungkusnya dengan kain putih bersama-sama sebiji atau tiga biji lada hitam. Kemudian tali pusat itu digantung di atas api bertujuan untuk memelihara kesihatan bayi. Jika bayi itu sakit, tali pusat tadi akan direndam di dalam air dan diberi minum kepada bayi supaya sembuh. Apabila bayi sudah pandai merangkak, tali pusat tadi akan diberikan kepadanya untuk dijadikan permainan. Sekiranya tali pusat tadi hilang, ini bermakna bayi akan bekerja di tempat yang jauh apabila dewasa nanti kerana kononnya tali pusat tersebut merupakan sebahagian daripada 'adik beradiknya'.

Pengenalan Kebanyakan masyarakat Orang Asli berkahwin ketika usia masih muda. Bagi kaum lelaki, usia 18 tahun merupakan usia yang paling sesuai untuk mendirikan rumahtangga. Kaum

perempuan pula ketika berusia 16 tahun dan hendaklah tidak lebih daripada usia kaum lelaki. Perkahwinan dilakukan oleh ibu bapa bakal pengantin, bermula daripada upacara merisik sehinggalah seseorang telah menjadi pasangan suami isteri secara sah. Oleh itu jodoh ditentukan oleh ibu bapa.

Ada juga di kalangan masyarakat Orang Asli yang telah bertunang sejak kecil lagi. Kebiasaannya pengantin lelaki dan perempuan mempunyai hubungan saudara seperti sepupu atau dua pupu atau mempunyai suku kaum yang sama. Adalah tidak menjadi kesalahan sekiranya bakal pengantin lelaki berkahwin dengan perempuan daripada suku lain. Namun apa yang pasti bakal pengantin perempuan perlu mengikut suami, dengan kata lain bakal isteri perlu memasuki suku kaum suami.
Hantar Tanda

Hari menghantar tanda atau menghantar cincin diketuai oleh seorang wakil ketua kampung untuk menetapkan hari meminang. Sebelum itu kedua-dua belah pihak telah bertemu untuk mendapat persetujuan tentang hari penghantaran cincin tanda. Setelah itu barulah penghantaran cincin tanda dilakukan. Biasanya menghantar cincin tanda ini dilakukan oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua.

Meminang Pada masa yang ditetapkan upacara meminang dijalankan oleh kedua-dua belah pihak yang diwakili oleh Tok Batin/ Jenang/Penghuhu/Jungkerah dan Penggawa sekiranya berlainan suku kaum. Mereka mengadakan perbincangan di sebuah rumah besar atau kini balai raya. Apabila selesai upacara meminang satu tarikh untuk hari melangsungkan perkahwinan ditetapkan iaitu kira-kira tujuh bulan, lapan bulan atau setahun dari upacara meminang.

Upacara Perkahwinan Upacara ini dimulakan dengan mengasah gigi kedua-dua mempelai yang bertujuan membuang sial. Ini adalah penting supaya segala masalah yang dihadapi oheh bakal pengantin ketika bujang tidak dibawa selepas berkahwin. Ada juga yang menyatakan asah gigi ini adalah untuk membuktikan bakal pengantin telah benar-benar dewasa dan boleh memikul tanggungjawab masing-masing.

Sehari sebelum upacara persandingan dilakukan, pasangan pengantin dikehendaki melakukan upacara berinai. Jari kedua-dua pengantin akan dimerahkan dengan daun inai yang ditumbuh lumat. Upacara berinai ini dijalankan hingga ke pagi. Pada masa yang sama tari menari hingga ke pagi akan diadakan.

Pelamin diperbuat daripada anyaman daun kelapa atau rumbia, manakala tiang pula diperbuat daripada anak-anak kayu yang direka bentuk seperti rumah yang kecil. Pelamin ini dibuat di hadapan rumah pengantin. Sekiranya suku kaum yang mendiami rumah panjang, mereka akan bersanding di tengah-tengah ruang untuk dilihat oleh ahli keluarga yang lain.
















Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...