Tuesday, December 21, 2010

KERANA DIA, MAKA KITA BERADA DI SINI...

DARI KACAMATA BEKAS PELAJARNYA....

Allahyarham Muhammad Thani Shaaban


Bismillah...

Sebelum aku berkongsi sedikit pengalaman aku dalam KRS, molek rasanya aku sentuh dulu serba sedikit berkenaan dengan Cikgu Thani. Pengalaman aku dengan beliau selama 5 tahun di SMK Raja Abdullah adalah pengalaman aku sendiri dan perihal beliau aku kupas berdasarkan pengalaman aku dengan beliau. Mungkin orang lain mempunyai pengalaman yang berbeza dengan beliau. Tapi itu adalah pengalaman mereka yang tidak pernah pula aku lalui.

Cikgu Thani adalah anak kelahiran Pulau Pinang. Aku pernah sekali pergi ke kampung beliau semasa aku berada di tingkatan 4 (semasa menyertai 'Perasmian KRS Peringkat Negeri' Pulau Pinang). Aku berada di sana lebih kurang 4 hari 3 malam (kalau tidak salah) bersama-sama dengan semua kawan-kawan dari SMK Raja Abdullah menaiki sebuah bas yang disewa khas untuk tujuan Perasmian KRS Peringkat Negeri. Kami tinggal di sebuah asrama di sebuah sekolah di Penang. Aku sudah tidak ingat lagi nama sekolah tersebut, maklumlah, sudah 14 tahun kisah ini berlalu. Mungkin satu hari nanti aku akan kupaskan peristiwa aku ke sana.

Ramai yang tidak tahu bahawa sebelum Cikgu Thani menjadi seorang guru, beliau pernah bekerja sebagai 'Tukang Besi' di Penang. Yelah, sementara tunggu keputusan hendak 'apply' mana2 lepas SPM, mestilah hendak cari duit sikit. Kalau tidak boleh menampung keluarga pun, cukuplah dapat menampung diri sendiri. Samalah macam Cikgu Thani. Sebagai seorang anak yang sudahpun menamatkan persekolahan, tentu saja niat dihati untuk membalas jasa ibubapa yang sudah lama mendidik dan membesarkan beliau. Namun, mengikut cerita beliau yang diceritakan sendiri pada aku, beliau cuma bekerja sebagai Tukang Besi selama beberapa bulan saja. Kemudian, beliau telah mendapat tawaran ke Maktab. Bidangnya, Sains Pertanian.

Cikgu Thani sepertimana aku mula kenal beliau merupakan seorang guru disiplin di SMK Raja Abdullah. Kebetulan, beliau merupakan seorang guru yang mengajar pelajar2 sesi petang di waktu itu. Di SMK Raja Abdullah, terdapat kelas peralihan untuk pelajar2 yang datang dari Sekolah Jenis Kebangsaan. Mereka ini memang cukup kenal dengan Cikgu Thani walaupun sebenarnya kelas peralihan semasa itu berada di sesi pagi. Pelajar2 yang telah tamat kelas peralihan akan ke Tingkatan 1 bersama-sama dengan pelajar2 dari Sekolah Kebangsaan yang biasa. Aku mula mengenali Cikgu Thani pun semasa keadaan kelam kabut pelajar2 bekas kelas peralihan yang berlari seribu langkah apabila nampak kelibat beliau. Kadang2 itu, aku pun tidak faham mengapa mereka lari sedangkan bukannya ada kesalahan apa2 yang mereka lakukan. Namun, itulah yang terjadi sebaik saja mereka nampak kelibat Cikgu Thani.

Antara perkara yang membuatkan mereka dapat menghidu kelibat Cikgu Thani adalah bau minyak atar beliau. 'Aiya, bau sani loh. Lari!' kata salah seorang dari mereka. Tajam betul deria bau pelajar2 x-peralihan ni. Aku sendiri pun masih belum cam lagi bau minyak wangi sendiri. Inikan pula minyak wangi orang lain. Tapi kata2 mereka memang ada benarnya. Sesiapa yang pernah berjumpa dengan beliau pasti dapat merasakan bau dan perasaan yang sama. 'Bau Thani'. Beliau sebenarnya sangat suka mengenakan minyak atar dari dalam tiub. Dulu memang selalu aku nampak minyak atar jenis ini. Cuma, sejak kebelakangan ini minyak atar sudahpun menggunakan botol baru (mengikut aliran zaman lah katakan). Pernah beberapa kali Cikgu Thani memberikan aku minyak atar tiub untuk dipakai. Kadang2, aku pakai dan kadang2 aku tidak pakai (macam istilah cekak pula, 'Pakai tak pakai, Tak pakai Pakai'). Bila aku duduk sendirian mengenangkan peristiwa 'Bau Thani' ini, aku boleh tergelak sendiri. Cikgu2 lama dalam KRS yang pernah mengenali beliau secara dekat mesti faham apa yang cuba aku sampaikan ini. Cuba tanya pada Cikgu Amir, Cikgu Fadhil, Cikgu Shaari, Ustaz Ahmad atau Cikgu Anuar.

Selain daripada aura wangi yang Cikgu Thani tonjolkan ini, ada lagi satu istilah yang aku tidak pernah dapat lupakan. 'Pedang Gaban'. Sudah pun namanya cikgu disiplin, mestilah ada rotan. Rotan itulah yang kami panggil Pedang Gaban. Ramai yang telah merasakan bisa Pedang Gaban ini. Walaubagaimanapun, aku tidak pernah kena sebat dengan beliau. Pernah sekali aku tergolong dalam pelajar2 bising semasa di perhimpunan sekolah (sebenarnya kawan2 aku yang bising), beliau menangkap aku dan kawan2. Namun, agaknya beliau tidak sampai hati hendak merotan aku, beliau berikan tugas merotan itu pada Cikgu Amir. Apa lagi, rotan Cikgu Amir pun tidak kurang bisanya. Itulah sekali seumur hidup aku dirotan di sekolah.

Banyak lagi perkara yang aku ingin kongsikan dengan semua pembaca. Kalau hendak taip semua, 5 tahun pun tidak habis. Mungkin aku akan kongsikan dalam catatan yang akan datang

ALLAHYARHAM MEJAR MUHAMAD THANI SHAABAN-PENGASAS KRS

.......DARI KACAMATA BEKAS PELAJAR ALLAHYARHAM




Sesetengah pelajar apabila sudah tamat persekolahan, sangat jarang bertemu semula dengan guru mereka. Maklumlah, ada yang sibuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, ada yang masuk Angkatan Tentera Malaysia, ada yang sibuk bekerja dan membina kerjaya serta pelbagai lagi sebab2 peribadi. Mungkin, ada sesetengah guru hanya menjadi guru semasa di sekolah sahaja, namun di luar kawasan sekolah, mereka hanya sebagai orang2 kebanyakan. Berbeza dengan Allahyarham Cikgu Thani, beliau tetap seorang guru walau di mana beliau berada. Aku berani mengatakan begini kerana aku selalu berada di luar kawasan sekolah bersama-sama beliau. Sama ada pergi ke rumahnya di Ampat Tin, pergi ke Port Dickson semasa mesyuarat ABIM dan banyak lagi. Apa yang aku maksudkan beliau sebagai seorang guru walau di mana beliau berada adalah berkenaan jatidiri beliau yang selalu mendidik, tegas, memberi kasih sayang sebagai seorang guru dan selalu menjaga etika2 beliau sebagai seorang guru.
Pernah satu ketika seorang guru di SM Raja Abdullah mempersoalkan mengapa Cikgu Thani sering menerima kunjungan daripada pelajar2 lama beliau walaupun sudah menamatkan persekolahan. Pada aku, bekas2 pelajar tersebut sangat menghargai beliau sebagai seorang guru yang benar2 ikhlas mendidik. Jangan ceritalah tentang berapa banyak duit yang beliau habiskan atas nama perjuangan KRS. Separuh gaji bulanan beliau akan digunakan untuk memastikan aktiviti2 KRS dapat dijalankan. Aku tahu, kerana selalunya di waktu itu ahli2 KRS pergi perkhemahan hanya membayar yuran sekitar RM5 hingga RM10 sahaja (paling mahal & paling jauh) bergantung kepada tempat dan aktiviti yang hendak dijalankan. Perkhemahan pula bukannya di sekolah, malahan tempat2 seperti Hutan Lipur Lentang, Port Dickson, Desaru dan banyak lagi. Kalau hendak diikutkan, dahulu bantuan ko-kurikulum bukannya banyak. Lagipun, diwaktu itu bukannya ada Penolong Kanan Ko-Kurikulum (PK Koko). PK Koko ini merupakan antara jawatan yang baru dalam hierarki guru. Semasa aku bersekolah dulu pun, jawatan ini belum wujud. Lagipun, ko-kurikulum belum di ambil sebagai salah satu penilaian dalam SPM. Begitulah Cikgu Thani, sanggup mengorbankan apa saja miliknya asalkan perjuangannya dalam pendidikan dan KRS mencapai objektif yang diharapkan.

Satu lagi berkenaan uniform KRS. Sepanjang aku menjadi ahli KRS di SM Raja Abdullah, aku hanya membeli 2 helai baju sahaja. Satu T-shirt yang ada tulisan Asshababul Mustaghbal dan satu lagi uniform KPIM yang aku beli semasa di tingkatan 2 (naik pangkatlah sikit waktu ini). Selain daripada itu, baju KRIS dan baju KRS aku tidak beli. Sebaliknya, baju KPIM Cikgu Thani tukar dengan baju KRIS menggunakan sistem barter. Begitu juga semasa baju KRIS kepada baju KRS, ditukar dengan sistem barter. Kalau ikutkan logik, siapa lagi yang hendak membeli baju2 lama tersebut? Aku tahu Cikgu Thani menggunakan duitnya sendiri tetapi aku masih muda ketika itu. Masih lagi belum mempunyai pertimbangan yang dewasa. Aku ambil sebab aku berasa bangga Cikgu Thani seolah-olah menghadiahkan baju tersebut kepada aku dan kawan2. Sayangnya, aku cuma sedar ketika sudahpun bergelar mahasiswa. Rupa2nya hadiah yang diberikan merupakan jerit tangis beliau yang tidak pernah disuarakan. Begitulah keikhlasan Cikgu Thani. Sanggup memberi barang yang paling beliau sayang meskipun beliau susah.

Aku ingin menyatakan di sini bahawa Cikgu Thani tidak pernah hidup mewah walaupun hidupnya senang. Bezakan perkataan 'mewah' dan 'senang'. Mewah bersangkut dengan harta dan kekayaan tetapi senang merupakan apa yang ada dihati. Kaya tidak semestinya senang dan miskin tidak semestinya susah. Semasa pemergian beliau pada tahun 2003 pun, beliau tidak meninggalkan harta yang banyak kepada waris2nya. Cuma beberapa ringgit hasil daripada KWSP, insurans dan gratuiti (yang beliau tidak pernah dapat nikmati) serta sebuah proton waja (pemberian Pak Chu). Namun, apa yang beliau tinggalkan adalah sebuah perjuangan yang harus diteruskan oleh generasi2 baru dalam usaha untuk mendidik anak bangsa untuk menjadi rakyat Malaysia yang terdidik secara menyeluruh dan berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...